Thursday, March 6, 2008

6 Mac 2008 (Ciplak)

TERBIT ULANG TANPA KEBENARAN: SATU FENOMENON CIPLAK DI ZAMAN SIBER?
oleh drirwan
irwan abu bakar

Pengenalan
Perbuatan keji menciplak karya orang lain untuk disiarkan sebagai karya sendiri (dengan pindaan yang minimal) adalah suatu fenomenon yang diketahui dan difahami khalayak.
Kebelakangan ini, timbul pula satu fenomenon baru yang belum begitu jelas kedudukannya dari segi etika berkarya, iaitu penyiaran semula (di penerbitan lain) tulisan seseorang dengan nama penulis asalnya tetapi tanpa kebenaran penulis asal mahupun penerbit asal.
Untuk memudahkan perbincangan, biarlah saya sempitkan isu ini kepada tulisan di internet yang diceduk dan disiarkan semula di media cetakan keras.
Hal ini saya ingin timbulkan kerana, sebagai penerbit di internet, kami berasa telah menjadi mangsa, terutama apabila penulis-penulis asal karya berkenaan tersalah sangka yang kami sebagai penerbit asal telah memberikan kebenaran kepada orang lain (media konvensional) untuk menerbitkan semula karya mereka tanpa pengetahuan mereka.
Ada beberapa sebab kenapa penulis tidak suka karyanya diterbitkan semula oleh pihak ketiga tanpa kebenarannya. Salah satu sebab ialah penulis itu mahu menentukan sendiri di mana dia mahu menerbitkan e-karyanya, jika karya itu mahu diterbitkan semula di media konvensional. Misalnya, seorang penulis yang telah menghantar tulisannya yang tersiar di e-majalah BESt ke penerbit sebuah majalah cetakan keras terpaksa menarik balik karya itu apabila mendapati bahawa sebuah penerbit lain telah “mencuri” karyanya itu dan menyiarkan di majalah terbitannya (dengan nama penulis asal itu). Satu lagi sebab adalah kerana mungkin seseorang penulis itu tidak suka karyanya diterbitkan di majalah tertentu, misalnya majalah yang banyak menyiarkan artikel-artikel berunsur tahyul atau erotika.
Satu lagi fenomenon yang sama teruknya ialah apabila seseorang penulis melakukan proses COPY AND PASTE terhadap karya orang lain, kemudian mengubahsuainya sedikit, dan menyiarkannya semula sebagai tulisannya sendiri tetapi dengan meletakkan nota kredit untuk penulis asal. Misalnya, baru-baru ini seorang penulis muda telah menulis laporan tentang Hadiah eSastera.com 2005 di e-majalah kami. Kemudian dia terbaca sebuah laporan tentang Hadiah eSastera.com 2005 itu (dengan sedikit pindaan) di sebuah akhbar yang ditulis oleh seorang penulis lain dengan memberi kredit kepada “idea” penulis muda itu. Kata penulis muda itu (dalam sms-nya kepada saya): "…Dia ‘curi’ idea saya dengan banyak…”Apa pandangan anda?

BICARA SASTERA > 2005 > TERBIT ULANG TANPA KEBENARAN: SATU FENOMENON CIPLAK DI ZAMAN SIBER? disumbangkan pada Selasa, 3 Mei 2005 7:27:10 PM • Kali terakhir diubah pada Rabu, 4 Mei 2005 2:20:48 PM oleh drirwan (www.esastera.com)

KOMEN:
Perbuatan menciplak atau juga dikenali sebagai plagiat merupakan satu perbuatan yang sudah lama berlaku di negara kita. perilaku ini merupakan suatu perilaku yang tidak bermoral dan menyalahi hukum media cetak.
Perbuatan menciplak ini biasanya dilakukan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab dan mereka yang inginkan keuntungan tanpa melakukan sebarang usaha. Situasi ini akan menyebabkan pihak yang menciptanya atau pemilik asal akan mengalami kerugian apabila hasil reka cipta atau karya mereka diciplak oleh mereka yang buta hati ini. Sementara itu, hari ini kita dapat lihat bagaimana mudahnya kerja kursus yang dilakukan oleh para pelajar universiti yang hanya cut and paste sahaja hasil orang lain untuk kertas kerja mereka.
Oleh itu, apa yang perlu dilakukan oleh mereka yang mencipta sesuatu produk atau hasil karya itu perlulah mempatenkan hasil ciptaan mereka mengikut Akta Hak Cipta. Ia bertujuan untuk melindungi hasil ciptaan mereka ditiru dan di manipulasi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

No comments: