Berat badan ideal, senaman elak sakit sendi
Oleh Hafizah Iszahanidhafiza@nstp.com.my
Selasa, 04 Mac 2008, 25 Safar 1429
BUKAN saja sakit, berhadapan dengan keradangan sakit sendi pada usia muda boleh membuatkan pesakitnya murung dan menyendiri. Selalunya, masalah keradangan sendi atau arthritis dialami oleh generasi tua. Bagaimanapun, kebelakangan ini, orang muda yang berusia pertengahan 30an juga diserang arthritis. Justeru, kebanyakan orang muda ini masih bekerja dan memiliki keluarga yang sedang membesar, tentu saja arthritis mengganggu kelancaran hidup. Pakar Perunding dan Bedah Ortopedik, Trauma dan Penggantian Sendi, Pusat Perubatan Columbia Asia, Puchong, Dr Mohd Kamal Mohd Hisa, berkata arthritis adalah keradangan pada sendi yang bukan sekadar menyebabkan kesakitan malah menyebabkan sendi menjadi bengkak dan mengehadkan pergerakannya.
Dr Kamal berkata, secara umumnya arthritis kerap dikaitkan dengan orang tua. Arthritis yang dikaitkan dengan orang tua biasanya disebabkan faktor usia yang dikenali sebagai osteoarthritis. Ia paling biasa ditemui di kalangan mereka yang berusia lebih 60 tahun. “Bagaimanapun, sejak kebelakangan ini orang muda juga ramai yang berhadapan dengan arthritis, tidak kira lelaki atau perempuan. Di antara faktor penyebab arthritis pada orang muda adalah kecederaan pada sendi akibat kemalangan jalan raya, aktiviti sukan lasak, terjatuh dan aktiviti yang boleh menyebabkan tekanan pada sendi secara berterusan,” katanya. Beliau berkata, kerosakan pada sendi juga boleh berlaku akibat keadaan yang dipanggil ‘Avascular Necrosis’ (kehilangan bekalan darah pada tulang yang menyebabkan ‘keruntuhan’ tulang atau sendi) terutama pada sendi tulang pinggul.
“Avascular necrosis selalunya disebabkan oleh pengambilan ubat steroid dalam tempoh jangka masa yang lama seperti mereka yang menghidapi penyakit asma atau lelah. Selain itu, ia juga terjadi pada mereka yang mengambil minuman keras secara tidak terkawal. “Keadaan berat badan yang berlebihan pada usia muda juga boleh menyebabkan tekanan yang berlebihan dan berpanjangan pada permukaan sendi lutut dan sendi pinggul yang kemudian merosakkan sendi,” katanya. Dr Kamal berkata, kerosakan sendi juga boleh berlaku di kalangan orang muda yang berhadapan penyakit seperti rheumatoid arthritis, systemic lupus erythematosus (lupus), gout dan tuberculosis. “Selain faktor usia, faktor risiko lain yang boleh menyebabkan arthritis termasuk berat badan yang berlebihan dan kecederaan pada sendi. Ia boleh menyebabkan tekanan yang berpanjangan pada permukaan sendi terutama sendi lutut dan sendi pinggul yang merosakkan sendi. Faktor genetik tidak memainkan peranan langsung dalam penyakit arthritis,” katanya.
Gejala Gejala utama arthritis adalah keradangan pada sendi. Pada peringkat awal sendi akan berasa sakit, bengkak, panas di sekeliling sendi, pergerakan sendi menjadi terhad dan kulit pada permukaan sendi menjadi kemerahan. Dr Kamal berkata, pada peringkat serangan lanjut, sendi akan rosak dan menyebabkan kesakitan yang berpanjangan, pergerakan sendi menjadi lebih terhad dan otot di sekeliling sendi mengecil. Sendi yang boleh terbabit adalah seperti sendi jari tangan, sendi pergelangan tangan, sendi lutut, sendi pinggul, sendi buku lali dan sendi bahu. Osteoarthritis dan rheumatoid arthritis (RA) tidak boleh disembuhkan. Justeru, rawatan yang diberikan biasanya bertujuan untuk mengawal simptom penyakit dan mengelakkan keadaan penyakit menjadi bertambah teruk. Beliau berkata, dalam kes jenis arthritis yang lain, ia boleh ditangani melalui ubat-ubatan manakala rawatan pula bergantung pada penyebab arthritis itu. (Berita Harian Online)
KOMEN:
pada masa dahulu, masalah sakit sendi banyak dialami oleh golongan tua yang usianyalebih daripada 60 tahun, tetapi kini golongn muda juga mengalami masalah yang sama. penyakit sendi atau lebih dikenali sebagai Arthritis amat menyeksakan sesiapa yang mengalaminya. ini kerana ada di kalangan merekan yang akan mengalami jari bengkok dan ini akan membuatkan pesakit akan menderita. penyakit ini juga akan menyerang bahagian sendi yang lain seperti sendi lutut, pinggul, sendi buku lali dan sendi lengan.
menurut pakar, penyakit ini juga disebabkan oleh pengambilan ubat lelah atau asma oleh mereka yang menghidap penyakit asma. ia juga terjadi akibat gaya hidup pesakit yang sebelum ini terlalu bebas dengan meminum minuman keras secara berlebihan serta mereka yang melakukan kegiatan yang lasak. antara tanda-tanda penyakit ini adalah sendi akan berasa sakit, panas di bahagian sendi,bengkak, pergerakan terbatas dan sendi akan kelihatan kemerah-merahan. oleh itu, golongan muda pada hari ini dinasihatkan supaya menjalankan gaya hidup yang sihat dan jauhilah alkohol atau minuman keras.
Monday, March 3, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment