Thursday, March 6, 2008

6 Mac 2008 (Ciplak)

TERBIT ULANG TANPA KEBENARAN: SATU FENOMENON CIPLAK DI ZAMAN SIBER?
oleh drirwan
irwan abu bakar

Pengenalan
Perbuatan keji menciplak karya orang lain untuk disiarkan sebagai karya sendiri (dengan pindaan yang minimal) adalah suatu fenomenon yang diketahui dan difahami khalayak.
Kebelakangan ini, timbul pula satu fenomenon baru yang belum begitu jelas kedudukannya dari segi etika berkarya, iaitu penyiaran semula (di penerbitan lain) tulisan seseorang dengan nama penulis asalnya tetapi tanpa kebenaran penulis asal mahupun penerbit asal.
Untuk memudahkan perbincangan, biarlah saya sempitkan isu ini kepada tulisan di internet yang diceduk dan disiarkan semula di media cetakan keras.
Hal ini saya ingin timbulkan kerana, sebagai penerbit di internet, kami berasa telah menjadi mangsa, terutama apabila penulis-penulis asal karya berkenaan tersalah sangka yang kami sebagai penerbit asal telah memberikan kebenaran kepada orang lain (media konvensional) untuk menerbitkan semula karya mereka tanpa pengetahuan mereka.
Ada beberapa sebab kenapa penulis tidak suka karyanya diterbitkan semula oleh pihak ketiga tanpa kebenarannya. Salah satu sebab ialah penulis itu mahu menentukan sendiri di mana dia mahu menerbitkan e-karyanya, jika karya itu mahu diterbitkan semula di media konvensional. Misalnya, seorang penulis yang telah menghantar tulisannya yang tersiar di e-majalah BESt ke penerbit sebuah majalah cetakan keras terpaksa menarik balik karya itu apabila mendapati bahawa sebuah penerbit lain telah “mencuri” karyanya itu dan menyiarkan di majalah terbitannya (dengan nama penulis asal itu). Satu lagi sebab adalah kerana mungkin seseorang penulis itu tidak suka karyanya diterbitkan di majalah tertentu, misalnya majalah yang banyak menyiarkan artikel-artikel berunsur tahyul atau erotika.
Satu lagi fenomenon yang sama teruknya ialah apabila seseorang penulis melakukan proses COPY AND PASTE terhadap karya orang lain, kemudian mengubahsuainya sedikit, dan menyiarkannya semula sebagai tulisannya sendiri tetapi dengan meletakkan nota kredit untuk penulis asal. Misalnya, baru-baru ini seorang penulis muda telah menulis laporan tentang Hadiah eSastera.com 2005 di e-majalah kami. Kemudian dia terbaca sebuah laporan tentang Hadiah eSastera.com 2005 itu (dengan sedikit pindaan) di sebuah akhbar yang ditulis oleh seorang penulis lain dengan memberi kredit kepada “idea” penulis muda itu. Kata penulis muda itu (dalam sms-nya kepada saya): "…Dia ‘curi’ idea saya dengan banyak…”Apa pandangan anda?

BICARA SASTERA > 2005 > TERBIT ULANG TANPA KEBENARAN: SATU FENOMENON CIPLAK DI ZAMAN SIBER? disumbangkan pada Selasa, 3 Mei 2005 7:27:10 PM • Kali terakhir diubah pada Rabu, 4 Mei 2005 2:20:48 PM oleh drirwan (www.esastera.com)

KOMEN:
Perbuatan menciplak atau juga dikenali sebagai plagiat merupakan satu perbuatan yang sudah lama berlaku di negara kita. perilaku ini merupakan suatu perilaku yang tidak bermoral dan menyalahi hukum media cetak.
Perbuatan menciplak ini biasanya dilakukan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab dan mereka yang inginkan keuntungan tanpa melakukan sebarang usaha. Situasi ini akan menyebabkan pihak yang menciptanya atau pemilik asal akan mengalami kerugian apabila hasil reka cipta atau karya mereka diciplak oleh mereka yang buta hati ini. Sementara itu, hari ini kita dapat lihat bagaimana mudahnya kerja kursus yang dilakukan oleh para pelajar universiti yang hanya cut and paste sahaja hasil orang lain untuk kertas kerja mereka.
Oleh itu, apa yang perlu dilakukan oleh mereka yang mencipta sesuatu produk atau hasil karya itu perlulah mempatenkan hasil ciptaan mereka mengikut Akta Hak Cipta. Ia bertujuan untuk melindungi hasil ciptaan mereka ditiru dan di manipulasi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Isu Bahasa Melayu

Telah 49 Tahun Malaysia Merdeka:Bahasa Melayu Ada-Ada Sahaja Isunya
oleh nimoizty

Pengenalan
Meskipun berada dalam kelompok negara Dunia Ketiga, kita tidak ketinggalan dalam prospek pembangunan fizikal. Kita gah di rantau global. Malaysia sering disebut-sebut namanya. Tambahan pula kita pernah menjadi tuan rumah banyak persidangan dan program serantau dan dunia. MSC, KLCC, KLIA, Cyberjaya dan Putrajaya antara bukti padu kejayaan Malaysia. Semua ini menjadi teras bahawa Malaysia merupakan negara yang berdaya saing. Terus mengorak langkah menuju zona baharu dalam erti kata yang luas. Dan paling penting, Malaysia kini telah bebas dari cengkaman imperialisme dan memiliki entiti ketamadunan sendiri tanpa terikat dengan mana-mana citra luar.
Ogos 2006 - sedar tidak sedar, telah 49 tahun negara Malaysia mengecapi manisnya madu merdeka. September 2006 pula merupakan Bulan Bahasa dan Sastera Negara (BBSN). Pada 22 Jun 2006 yang lalu, DBP telah menyambut Jubli Emas dengan slogan “Lima Puluh Tahun Memartabatkan Bahasa Kebangsaan”. Semua orang tahu bahawa kemerdekaan Malaysia pada tahun tahun 1957 dan bahasa Melayu saling berasosiasi. Yang mana bahasa Melayu telah menjadi mangkin penyatuan rakyat Malaysia untuk menuntut kemerdekaan. Orang Melayu, Cina dan India berada dalam satu rumpun yang sama. Masing-masing mahu tanah Melayu bebas merdeka.
Sebagai pembaca setia majalah terbitan DBP, terutama Dewan Bahasa, syabas dan tahniah saya zahirkan kepada DBP kerana telah menjalankan tugas rasminya sebagai badan yang dipertanggungjawab untuk memaju dan mengayakan bahasa kebangsaan, memaju bakat kesusasteraan melalui bahasa kebangsaan, mencetak dan menerbitkan buku dan risalah dalam bahasa kebangsaan serta bahasa-bahasa lain, menyamakan ejaan dan bunyi sebutan dan menggubal istilah bahasa kebangsaan serta menterjemah buku-buku lain ke dalam bahasa Melayu. Semoga usaha murni ini akan memberi impak positif kepada semua.
Bagaimanapun, bahasa Melayu ada-ada sahaja isunya. Karenahnya tidak pernah berkesudahan. Tidak pernah putus-putus. Baca sahaja majalah terbitan berkala Dewan Bahasa dan Pelita Bahasa, ada-ada sahaja isunya. Soal hak dan maruah bahasa Melayu, soal entiti bahasa Melayu, soal kedaulatan bahasa Melayu, soal kepincangan bahasa Melayu, soal nilai bahasa Melayu, soal Akta Bahasa Melayu dan sebagainya terus sahaja dibangkitkan. Terus diperdebatkan seolah-olah tidak ada jalan penyelesaian.
Seakan-akan tidak pernah ada titik persefahaman. Di satu pihak lantang mempertahankan nilai bahasa Melayu. Menyentuh kembali Perkara 152 dalam perlembagaan, Akta Bahasa Kebangsaan 1967, Minggu Bahasa dan Bulan Bahasa, cogan kata Bahasa Jiwa Bangsa yang mula diperkenalkan sejak 1960 dan lain-lain. Di satu pihak pula mengagung-agungkan bahasa Inggeris. Kononnya orang Melayu akan mundur dan ketinggalan kalau tidak pandai bahasa Inggeris. Padahal telah ramai anak Melayu masuk universiti. Berjaya di persada Malaysia dan dunia ketika sains dan matematik masih diajar dalam bahasa Melayu. Di satu pihak pula hanya menjadi pak turut. Asal itu yang molek bagi dirinya dia ikut. Manakala di satu pihak lagi tidak tahu apa-apa. Berkata ‘ya’ tidak, berkata ‘tidak’ pun tidak. Dan yang menggusarkan, di satu pihak lagi tidak ambil kisah langsung. Barangkali tidak ada sentimen langsung. Jenis yang tidak ada perasaan. Yang menjadi mangsa, adalah bahasa Melayu itu sendiri. Yang menjadi mangsa, adalah anak-anak bangsa kita sendiri.
Di sektor swasta, ada-ada sahaja kepincangannya. Begitu juga di sektor swasta. Maksud saya, tentang penguasaan bahasa Melayu yang masih lemah, bahasa rojak, bahasa caca merba, bahasa iklan yang salah dan sebagainya. Pun, mujur ada juga tindakan oleh pihak berkenaan sejak beberapa perkara menjadi polemik utama. Misalnya TV3 telah mengambil langkah menukar istilah sureheboh kepada jomheboh. Perbadanan Putrajaya telah menukar istilah Boulevard kepada ‘persiaran’. Istilah Presint pula masih dikekalkan kerana telah dimasukkan dalam Kamus Dewan (saya belum merujuk Kamus Dewan ketika tulisan ini ditulis). Syabas dan tahniah. Cuma saya sedikit terkilan kerana jenama kereta terbaharu tempatan tidak ada ciri-ciri kebangsaan. Nama yang dipilih agak kebaratan.
Perkembangan teknologi maklumat pula menjadikan isu bahasa semakin parah. Misalnya dunia weblog yang memungkinkan sesiapa sahaja menjadi penulis. Sesiapa sahaja boleh menjadi penulis weblog asalkan ada kerajinan dan tahu serba sedikit selok-belok komputer dan dunia internet. Apa yang mencemaskan, pencemaran bahasa Melayu berlaku. Di sinilah medan pemusnahan. Penggunaan bahasa Melayu yang tidak betul. Soal tatabahasa diremehkan. Soal imbuhan diperkecilkan. Ayat yang berbelit-belit. Ada yang main campur-campur. Ada yang main tulis ringkas-ringkas seperti bahasa khidmat pesanan ringkas (sms). Sakit. Bahasa Melayu semakin sakit. Tidak ada pengawalan kerana dunia siber terbuka kepada semua.
Di kalangan pelajar IPT pula, segelintir mereka seakan-akan terbiar. Terutama pelajar sains, kejuruteraan, perubatan, perakaunan dan lain-lain yang tidak bersangkutan dengan bahasa. Sebagai tenaga pengajar di Politeknik, yang mengkhusus kepada sains dan teknologi, saya kadang-kadang cemas dengan penguasaan bahasa Melayu pelajar-pelajar. Terutama pelajar-pelajar bukan Melayu (walaupun dalam masa yang sama, penguasaan pelajar Melayu sendiri masih lemah). Ketika memeriksa kertas jawapan pelajar, soal pembentukan ayat diabaikan. Soal tatabahasa seolah-olah dibiarkan. Hendak salahkan siapa? Adalah mustahil untuk saya mengajar pelajar berbahasa Melayu dengan betul secara mendalam, sedangkan dalam masa yang sama saya perlu mengajar aspek-aspek teknikal.
Kita memang gah di rantau dunia. MSC, KLCC, KLIA, Cyberjaya dan Putrajaya antara bukti kejayaan Malaysia. Semua ini menjadi teras bahawa Malaysia merupakan negara yang berdaya saing. Jika mahu melihat negara maju, nah…kita sedang menghampirinya. Wawasan 2020 semakin menjadi realiti. Rancangan Malaysia ke-9 (RMK9) baru sahaja dibentangkan. Namun, sanggupkah kita melihat negara maju dalam aspek fizikal sahaja, sedangkan aspek lain dipinggirkan. Bahasa Melayu diremehkan. Barangkali elok juga isu bahasa Melayu tidak berkesudahan. Supaya kita dapat terus membaca Dewan Bahasa dan Pelita Bahasa. Namun sanggupkah kita? Tepuk dada tanya minda. Sebagai pencinta bahasa Melayu, saya jadi cemas. Cemas dan kadangkala sebak dengan nasib bahasa yang pernah agung suatu ketika dahulu.

BICARA SASTERA > 2006 > Telah 49 Tahun Malaysia Merdeka:Bahasa Melayu Ada-Ada Sahaja Isunya disumbangkan pada Isnin, 3 Julai 2006 2:30:34 PM • Kali terakhir diubah pada Isnin, 3 Julai 2006 2:30:34 PM oleh nimoizty (http://www.esastera.com/)

KOMEN:
Semakin maju negara, semakin tenat bahasa Melayu kita. ini lah yang terjadi pada hari ini. bahasa Melayu telah di bahasa rojakkan oleh banyak pihak. Walaupun Malaysia telah merdeka selama 49 tahun, tetapi kita dapat lihat bagaimana situasi bahasa kita dalam masyarakat. Misalnya, dalam arus teknologi maklumat dan era kepesatan dalam Internet. Para pelayar yang kebanyakannya terdiri daripada golongan remaja, banyak menggunakan bahasa slanga atau bahasa rojak dalam emel atau weblog mereka. Ini secara tidak langsung akan mencemarkan kedaulatan bahasa Melayu.
Sementara itu, ada juga agensi-agensi swasta yang menggunakan bahasa Melayu yang dicampur adukkan dengan bahasa Inggeris. Contohnya, pada suatu ketika sebuah televisyen swasta menggunakan bahasa Inggeris yang dicampur dengan bahasa Melayu untuk sebuah rancangan terbitannya.
Apabila ditegur oleh pihak yang berwajib, akhirnya pihak stesen televisyen terbabit mengubah rancangan terbitannya ke dalam bahasa Melayu.

Wednesday, March 5, 2008

6 Mac 2008 (Pengaruh Weblog dalam Bahasa dan Sastera)

Dunia Weblog Cemarkan Bahasa dan Sastera
oleh nimoizty

Pengenalan
SEPERTI kata Mohd. Dahrie Zakaria dalam rencananya Mendekati Sastera Siber (Tunas Cipta, Julai 2006), weblog agak popular di kalangan anak-anak muda sekarang dan tidak terhad kepada sasterawan semata-mata. Sebaliknya, medium ini turut didominasi pelbagai lapisan masyarakat; daripada politikus, pentadbir, budayawan, artis lakon dan sebagainya. Bagaimanapun, sebagai salah seorang pengamal sastera siber, saya agak resah dah risau dengan perkembangan weblog sekarang ini. Macam-macam berlaku di dunia weblog tanpa ada pemantauan daripada pihak-pihak berkenaan.
Weblog telah dijadikan medan untuk melampiaskan ketidaksenonohan dalam berbahasa. Soal kebahasaan tidak dititikberatkan. Kalau di media massa yang lain, satu perkataan yang tidak betul menjadi perdebatan hangat di kalangan induk masyarakat, pencinta bahasa Melayu, ahli linguistik, sasterawan malah sampai ke peringkat parlimen. Namun, beribu-ribu penyalahgunaan bahasa di weblog tidak mendapat perhatian mana-mana pihak. Impaknya, penulis-penulis weblog yang ‘tidak sedar diri’ ini terus sahaja bermaharajalela di dunia siber.

Mudah
Media massa dalam konteks persuratan dan visual lebih mencakupi Malaysia sahaja, sedangkan weblog boleh dicapai di seluruh dunia. Sememangnya, sastera siber mempunyai masa depan yang cerah di Malaysia. Tidak ramai yang memiliki laman web persendirian kerana pemilik laman web persendirian perlu membayar sejumlah wang kepada pembekal server. Justeru, weblog merupakan medium terbaik memandangkan sifatnya yang mesra pengguna. Siapa-siapa sahaja boleh memiliki weblog persendirian termasuklah kanak-kanak yang masih di bangku sekolah rendah. Di weblog, seseorang itu boleh berinteraksi, bertukar-tukar fikiran dan melontarkan buah fikiran masing-masing. Tulislah apa-apa sahaja mencakupi bab politik, ekonomi, sosial, agama, sastera, budaya, sukan dan sebagainya.
Mudah sahaja. Yang penting sesorang itu mestilah tahu serba sedikit tentang komputer. Mesti tahu serba sedikit tentang dunia internet. Kalau tidak tahu, boleh sahaja belajar secara sendirian, belajar daripada ahli keluarga yang celik komputer atau memilih untuk belajar di pusat-pusat komputer. Paling utama, mereka perlu ada minat dan kesungguhan. Pertama sekali, mereka yang ingin memiliki weblog perlulah memilih mana-mana kerangka weblog yang digemari. Sekarang ini, terdapat banyak kerangka weblog di internet yang boleh dimiliki secara percuma. Antara yang agak popular ialah blogspot (http://domainpemilik.blogspot.com), blogdrive (http://domainpemilik.blogdrive.com) dan multiply (www.domainpemilik.multiply.com) – (sekadar menyebut beberapa weblog).
Seterusnya, mereka perlulah melengkapkan beberapa ruangan seperti username, password dan sebagainya. Selepas itu mereka bolehkan memilih rekaletak, warna latar dan sebagainya. Kalau ada yang lebih inovatif, mereka boleh menjadikan weblog mereka lebih interaktif dan dinamik sifatnya dengan meletakkan animasi, grafik, lagu, video dan sebagainya menggunakan kod html. Kalau tidak berapa faham kod-kod html, mereka boleh sahaja menyalin kod ini daripada bar view dan klik pada source di weblog orang lain seterusnya mengikut arahan salin dan tampal. Dalam beberapa minit sahaja, seseorang itu kini telah memiliki weblog persendirian. Sesiapa sahaja boleh mencapainya di segenap pelosok dunia sejurus selepas itu. Untuk masa-masa akan datang, mereka hanya perlu mengemaskini bahagian entri weblog sahaja.

Pencemaran
Banyak kesalahan tatabahasa dilakukan oleh penulis entri weblog. Antaranya kesalahan yang tidak disengajakan seperti kata bilangan, kata sendi, kata kerja transitif, kata kerja tak transitif, kata ganda berimbuhan, kata ganda seluruh, kata hubung, frasa sendi, frasa adjektif dan sebagainya. Mungkin kesalahan ini dapat dimaafkan kerana tidak semua penulis weblog fasih bab-bab tatabahasa. Yang menjadi masalahnya, ramai penulis weblog menulis kesalahan yang terlalu besar secara sengaja. Bagi saya, kesalahan ini tidak dapat dimaafkan sehingga mereka membetukannya kembali.
Antaranya ialah mencampur aduk perkataan bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris (lalu terhasillah apa yang dinamakan bahasa rojak). Menulis ayat yang bercelaru, ringkasan perkataan persis menulis mesej pesanan ringkas (sms), dan kerancuan dalam berbahasa yang ketara. Sebenarnya penulis weblog sedar akan kesalahan ini. Namun mereka meneruskan juga kerana sifat tidak bertanggungjawab. Pengabaian ini mencemarkan bahasa Melayu. Penulis weblog sepatutnya mengambil pertimbangan sentimen bahasa Melayu kerana martabat bahasa Melayu terletak di tangan kita sendiri.
Di kalangan penulis sastera, mereka juga menjadikan ruangan entri ini untuk mengasah bakat sastera. Bagus. Ini merupakan langkah yang wajar sebagai satu nilai tambah (value added) berbanding mereka yang buta internet. Mereka bertindak sebagai penulis, dan mereka jugalah yang bertindak sebagai editor. Bagaimanapun, apa yang menyedihkan, akibat tidak ambil kisah dengan nilai-nilai sastera, mereka mempermainkan sastera. Lebih daripada itu, mereka menjadikan sastera sebagai medan melampisakan rasa ketidakpuasan hati kepada mana-mana pihak tanpa mengambil kira sentimen pihak lain. Sepatutnya, mereka kembali kepada akar sastera itu sendiri yang bersifat halus dengan tidak mengabaikan nilai-nilai seni. Kalau begini keadaannya, sastera Melayu akan hancur.
Seseorang pengunjung weblog boleh membaca kembali entri lama kerana weblog menyediakan ruangan pautan entri terdahulu. Atau dalam ungkapan yang lebih dominan dipanggil arkib. Arkib ini tidak akan hilang melainkan pemilik weblog itu sendiri yang membuangnya. Lalu, arkib ini akan terus menjadi monumen sejarah yang sentiasa boleh ditatap. Dan monumen kesalahan ini akan kekal abadi menjadi kesalahan tanpa ada seorang pun yang membetulkannya.

Faktor
Terdapat banyak faktor yang memungkinkan mengapa seseorang penulis weblog itu tidak mementingkan aspek tatabahasa. Antaranya, mereka memandang remeh aspek ini. Sebabnya mereka tidak ada kesedaran moral akan perlunya menulis entri blog dalam bahasa Melayu yang betul. Yang kedua, mereka sengaja merendah-rendahkan martabat bahasa Melayu itu sendiri. Mereka buat tidak ambil kisah sahaja.
Memang, weblog biasanya bersifat santai. Maka, mereka pun menulis entri weblog secara santai juga. Lalu soal kebahasaan tidak diambil kira. Barangkali ini disebabkan oleh faktor pengunjung juga. Ada pengunjung yang suka membaca enti weblog yang ditulis secara santai dan bersahaja. Mereka mahu membaca dalam keadaan santai dan tidak perlu memberatkan minda.
Menariknya, weblog ada menyediakan ruangan statistik, pautan ke weblog serta laman web lain dan ruangan sembang-sembang. Di ruangan statistik, kita boleh melihat samada weblog itu kerap dikunjungi atau tidak. Ada penulis weblog yang tulis main-main sahaja (dengan bahasa rojak, tatabahasa tunggang langgang, bahasa rancu). Namun isunya menarik. Maka dengan ini, penulis weblog akan terus dengan keadaan begitu. Mereka semakin rajin untuk mengemaskini weblog masing-masing tiap-tiap hari kerana ada unsur galakan iaitu sambutan pengunjung yang memberansangkan. Dan pencemaran bahasa san sastera terus berulangan.

Kesedaran
Agak sukar juga untuk membanteras kegiatan penyalahgunaan medium weblog. Ini kerana kerangka weblog biasanya diusahakan oleh pakar-pakar IT daripada luar negara. Caranya tidak lain dan tidak bukan, pihak-pihak tertentu boleh sahaja menyenarai hitakamkan penama-penama mereka yang tidak bertanggungjawab ini. Pada hemat saya, hanya kesedaran sivik akan pentingnya kita memartabatkan bahasa Melayu sahaja akan memungkinkan perkara ini dapat diatasi. Pemilik-pemilik weblog yang bertanggungjawab juga perlulah membuang pautan (link) rakan-rakan yang tidak menitikberatkan soal bahasa dan sastera supaya weblog itu tidak tersebar.
Tidak dinafikan, ada ramai pemilik weblog yang bertanggungjawab. Yang mementingkan aspek bahasa dan sastera Melayu. Namun, kasihanilah kelompok ini kerana mereka juga menerima tempias yang sama kerana ibarat setitik nila, rosak susu sebelanga. Bagi mereka yang jarang-jarang menjelajah di dunia weblog, katakan pada suatu hari mereka terbaca sebuah entri yang mencemarkan bahasa Melayu, pasti mereka akan menganggap bahawa semua entri adalah sampah. Padahal tidak semuanya begitu.
Weblog kini dianggap sebagai koleksi digital yang tidak dinafikan lagi akan kepentingan dan potensinya. Koleksi digital ini memudahkan lagi pengaksesan maklumat yang lebih global merentasi sempadan. Sepatutnya, weblog harus menjadi medium penyebaran maklumat bahasa, sastera dan budaya melayu dalam talian selain menjadi korpus bahasa dan sastera Melayu. Namun kini, sebaliknya telah terjadi.
Seperti kata Mohd. Dahrie Zakaria, kebanyakan penulis muda sekarang yang mesra siber, akan mendominasi medan sastera perdana pada suatu hari nanti. Mungkin. Dan saya sokong kenyataan ini. Namun, walaupun mereka dapat pergi jauh, bagi saya mereka tidak berguna untuk bangsa kerana mereka ibarat musuh dalam lipatan, dalam diam memusnahkan bahasa Melayu. Kini, jurang digital tidak lagi wujud di kalangan pengamal sastera. Yang wujud adalah jurang nilai itu sendiri. TAMAT
BICARA SASTERA > Sayembara 2006 > Dunia Weblog Cemarkan Bahasa dan Sastera disumbangkan pada Isnin, 3 Julai 2006 2:31:35 PM • Kali terakhir diubah pada Isnin, 3 Julai 2006 2:31:35 PM oleh nimoizty (www.esastera.com)

KOMEN:
Weblog merupakan salah satu medium untuk para pelayar Internet meluahkan perasaan atau pendapat. Ia juga lebih dikenalai sebagai diari di kalangan mereka. Namun, penggunaan dan kewujudan weblog ini akan memberikan kesan yang begitu membimbangkan kepada perkembangan dan kemurnian bahasa Melayu. Apa yang kita ketahui, para penulis weblog menggunakan bahasa yang amat memalukan para pencinta bahasa seprti penggunaan bahasa yang sengaja dicampur adukkan sehingga menghasilkan bahasa rojak atau dikenali juga sebagai bahasa slanga. Bahasa yang digunakan oleh mereka menyalahi hukum tatabahasa dan perkembangan ini akan menjadikan bahasa Melayu sebagai satu bahasa yang caca marba dan ini akan menyebabkan masyarakat asing akan memandang rendah terhap mutu bahasa Melayu. Oleh kerana pengendali weblog ini terdiri daripada golongan remaja, weblog yang digunakan bersifat santai dan ada juga yang hanya ingin mengisi masa yang terluang. Oleh itu, para penulis weblog digesa agar menggunakan bahasa Melayu yang betul agar kemurnian bahasa Melayu tidak tercemar. Langkah ini selaras dengan hasrat dan usaha kerajaan yang gigih berusaha dalam pemurnian bahasa Melayu agar ia menjadi bahasa yang setanding dengan bahasa antarabangsa yang lain.

6 Mac 2008 (Peranan Media kepada Masyarakat)

MEDIA PATUT TONJOLKAN PERKARA POSITIF
oleh nurilham83

Pengenalan

Artikel asli sebelum dikeluarkan Majalah Dewan Masyarakat keluaran September 2007
Media merupakan wahana atau saluran untuk menyampaikan mesej di dalam pelbagai aspek kehidupan. Di pasaran masa kini, terdapat berbagai-bagai media samada media cetak ataupun media elektronik dengan agenda masing-masing mewarnai pasaran dunia kewartawanan muncul seperti cendawan selepas hujan.
Melalui media berbentuk elektronik maklumat disalur begitu cepat di dalam dunia tanpa sempadan. Pelbagai info terkini dapat diakses dengan cepat di seluruh dunia melalui internet. Televisyen dengan siaran 24 jam pula tidak kurang hebat memaparkan pelbagai rencah kehidupan melalui cerita, berita dan hiburan.
Selain itu, media cetak termasuk akhbar, majalah dan sebarang bentuk penerbitan melalui percetakan dikeluarkan dengan pelbagai rekabentuk dan saiz dengan isu yang hangat dan sensasi seolah-olah mereka saling bersaing di antara satu sama lain bagi meraih minat pembaca untuk terus membeli dan mendapatkannya.
Justeru, tidak hairanlah dikatakan media mempunyai pengaruh yang besar di dalam hidup bermasyarakat kerana hari-hari masyarakat bergelumang dengannya bagi mencari identiti sebenar di dalam dunia globalisasi masa kini. Dewasa kini, gejala sosial semakin parah mengancam kehidupan manusia. Di dada-dada akhbar hari ini, kita tidak harian dengan kes ragut, dadah, samun, bunuh dan rogol seolah-olah mendominasi berita yang kerap berlaku.
Jika kita melihat senario yang berlaku sekarang, muda mudi yang merupakan generasi pelapis pula terlalu leka dengan hiburan yang disogok melalui media. Sekiranya kita membiarkan mereka hanyut di dalam keseronokan mereka itu maka tidak mustahil mereka boleh melakukan yang lebih teruk lagi daripada itu. Antara sedar atau tidak, pengaruh media terlalu besar sehingga muda-mudi mudah terikut tetapi yang merisaukan adik-adik yang masih kecil sudah pandai meniru melihat telatah yang ditonjolkan melalui media.
Sejak kecil anak-anak terdedah dengan persekitaran yang terbuka dengan pelbagai perkara-perkara positif dan negatif bercampur. Sekiranya tidak diotonjolkan dengan perkara positif maka rosaklah mereka secara tidak langsung mempengaruhi masyarakat sekitar. Itulah perumpaan sekiranya media tidak mengambil inisiatif di dalam pembentukan masyarakat yang cemerlang, gemilang dan terbilang sepertimana hasrat kerajaan.
Sewajarnya, media perlu memaparkan perkara-perkara positif bagi mewujudkan suasana harmonis yang banyak mempengaruhi orang awam. Sehubungan dengan itu, amat wajarlah semua pihak termasuk media cetak dan media elektronik yang memainkan pengaruh yang besar kepada masyarakat hari ini bagi menggalas tanggungjawab ini bersama.
NURILHAM, Pulai Chondong, Kelantan.
BICARA SASTERA > 2007 > MEDIA PATUT TONJOLKAN PERKARA POSITIF disumbangkan pada Khamis, 22 November 2007 4:27:01 PM • Kali terakhir diubah pada Khamis, 22 November 2007 4:27:01 PM oleh nurilham83 (www.esastera.com)

KOMEN:
Media merupakan satu saluran yang menyampaikan segala informasi kepada masyarakat. Peranan media sama ada media cetak atau media elektronik amat besar dalam kehidupan masyarakat. Peranan tersebut adalah seperti sumber berita dalam dan luar negara, sumber hiburan atau pun tempat untuk masyarakat meluahkan dan menyatakan tentang masalah dan pandangan masing-masing. Justeru itu, para pengamal media atau para pemilik syarikat media tempatan haruslah sedar dengan tanggungjawab masing-masing dalam menyiarkan segala dan apa yang akan dipaparkan kepada umum khususnya, para remaja yang kini semakin matang dan mudah terjebak dalam segala bentuk budaya barat yang boleh menyesatkan fikiran mereka. Apa yang kita dapat lihat pada hari ini, media banyak menyiarkan cerita-cerita atau apa jua paparan yang berunsur ganas serta memaparkan filem-filem dari barat yang mampu mempengaruhi minda remaja. Ini beerti, para remaja akan teikut-ikut dengan apa yang dipaparkan oleh pihak media. misalnya, masalah rogol, samun bersenjata, gengsterisme, budaya punk, skinhead, lepak, rempit dan segala macam lagi masalah yang melanda remaja pada hari ini. Gejala ini salah satu sebabnya adalah berpunca daripada media massa. Dengan itu, pihak yang terlibat perlulah bersama-sama berganding bahu dalam menyiarkan sesuatu yang bermaklumat dan berinformasi kepada para penonton khususnya, para remaja.

6 Mac 2008 (Peranan Sastera dalam Kehidupan)

SASTERA BERPERANAN TERAP NILAI MURNI.
OLEH: ABDUL HALIM YAACOB.

Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), meminta Kementerian Pelajaran mengkaji semula subjek Kesusasteraan Melayu di sekolah menengah untuk menerapkan nilai-nilai murni kepada pelajar dalam menangani gejala sosial.

Demikian menurut Peridennya Anuar Ibrahim yang menyatakan subjek berkenaan berupaya menjana modal insan seperti hasrat yang sering diperkatakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad badawi ke arah melahirkan anggota masyarakat Malaysia yang berdaya saing dan matang fikirannya.

Tambah beliau, ia adalah resolusi seminar Kesusasteraan Melayu Dalam Pendidikan anjuran bersama NUTP dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang berlangsung pada 4 - 5 Jun lalu dan akan dibentangkan kepada Kementerian Pelajaran dalam tempoh terdekat.

Sewaktu berucap pada Seminar Pemikiran Tokoh di Auditorium Taman Budaya Negeri Alor Setar (ATBNAS) 7 November 2007 lalu, Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Kedah (JKKNK), Che Kassim Mahmud dengan tegas menyatakan bahawa para Pegawai Tadbir Diplomat (PTD) dan Pegawai Tadbir Negeri (PTN) rata-ratanya adalah lulusan jurusan sastera dari Pusat Pengajian Tinggi (PPT).
BERITA SASTERA > 2008 > SASTERA BERPERANAN TERAP NILAI MURNI. disumbangkan pada Sabtu, 5 Januari 2008 9:21:57 AM • Kali terakhir diubah pada Sabtu, 5 Januari 2008 9:21:57 AM oleh abdulhalim (www.esastera.com)

KOMEN:
Apa yang kita ketahui, sastera merupakan salah satu aset dalam penerapan nilai-nilai murni kepada masyarakat khususnya, para pelajar dan remaja. selaras dengan cadangan Kesatuan Perkhidmatan Peguruan Kebangsaan atau (NUTP), yang mencadangkan pihak Kementerian Pelajaran Malaysia mengkaji semula sistem mata pelajaran Kesusasteraan Melayu di semua sekolah bagi menerapkan nilai-nilai murni kepada para pelajar untuk menjadi generasi yang brbudi pekerti dan berakhlak mulia. Kesusasteraan Melayu merupakan satu medium yang menggambarkan sosial masyaraka. Justeru itu, kita perlu menjadikan sastera sebagai alat untuk mendidik masyarakat khususnya golongan remaja agar mempunyai nilai-nilai murni seperti berbudi bahasa, bersopan santu, tolong-menolong, amanah, jujur dan beberapa nilai murni yang lain. ini adalah kerana, para remaja merupakan aset negara dan merekalah yang akan mencorakkan masa depan negara. Dengan adanya, nilai-nilai murni dalam diri remaja dapat menjadikan mereka seorang pemimpin yang dihormati olen masyarakat. Dengan itu, subjek Kesusasteraan Melayu amat penting dalam kehidupan masyarakat...

Monday, March 3, 2008

4 mac 2008 (untuk kesihatan)

Berat badan ideal, senaman elak sakit sendi
Oleh Hafizah Iszahanidhafiza@nstp.com.my
Selasa, 04 Mac 2008, 25 Safar 1429

BUKAN saja sakit, berhadapan dengan keradangan sakit sendi pada usia muda boleh membuatkan pesakitnya murung dan menyendiri. Selalunya, masalah keradangan sendi atau arthritis dialami oleh generasi tua. Bagaimanapun, kebelakangan ini, orang muda yang berusia pertengahan 30an juga diserang arthritis. Justeru, kebanyakan orang muda ini masih bekerja dan memiliki keluarga yang sedang membesar, tentu saja arthritis mengganggu kelancaran hidup. Pakar Perunding dan Bedah Ortopedik, Trauma dan Penggantian Sendi, Pusat Perubatan Columbia Asia, Puchong, Dr Mohd Kamal Mohd Hisa, berkata arthritis adalah keradangan pada sendi yang bukan sekadar menyebabkan kesakitan malah menyebabkan sendi menjadi bengkak dan mengehadkan pergerakannya.
Dr Kamal berkata, secara umumnya arthritis kerap dikaitkan dengan orang tua. Arthritis yang dikaitkan dengan orang tua biasanya disebabkan faktor usia yang dikenali sebagai osteoarthritis. Ia paling biasa ditemui di kalangan mereka yang berusia lebih 60 tahun. “Bagaimanapun, sejak kebelakangan ini orang muda juga ramai yang berhadapan dengan arthritis, tidak kira lelaki atau perempuan. Di antara faktor penyebab arthritis pada orang muda adalah kecederaan pada sendi akibat kemalangan jalan raya, aktiviti sukan lasak, terjatuh dan aktiviti yang boleh menyebabkan tekanan pada sendi secara berterusan,” katanya. Beliau berkata, kerosakan pada sendi juga boleh berlaku akibat keadaan yang dipanggil ‘Avascular Necrosis’ (kehilangan bekalan darah pada tulang yang menyebabkan ‘keruntuhan’ tulang atau sendi) terutama pada sendi tulang pinggul.
“Avascular necrosis selalunya disebabkan oleh pengambilan ubat steroid dalam tempoh jangka masa yang lama seperti mereka yang menghidapi penyakit asma atau lelah. Selain itu, ia juga terjadi pada mereka yang mengambil minuman keras secara tidak terkawal. “Keadaan berat badan yang berlebihan pada usia muda juga boleh menyebabkan tekanan yang berlebihan dan berpanjangan pada permukaan sendi lutut dan sendi pinggul yang kemudian merosakkan sendi,” katanya. Dr Kamal berkata, kerosakan sendi juga boleh berlaku di kalangan orang muda yang berhadapan penyakit seperti rheumatoid arthritis, systemic lupus erythematosus (lupus), gout dan tuberculosis. “Selain faktor usia, faktor risiko lain yang boleh menyebabkan arthritis termasuk berat badan yang berlebihan dan kecederaan pada sendi. Ia boleh menyebabkan tekanan yang berpanjangan pada permukaan sendi terutama sendi lutut dan sendi pinggul yang merosakkan sendi. Faktor genetik tidak memainkan peranan langsung dalam penyakit arthritis,” katanya.
Gejala Gejala utama arthritis adalah keradangan pada sendi. Pada peringkat awal sendi akan berasa sakit, bengkak, panas di sekeliling sendi, pergerakan sendi menjadi terhad dan kulit pada permukaan sendi menjadi kemerahan. Dr Kamal berkata, pada peringkat serangan lanjut, sendi akan rosak dan menyebabkan kesakitan yang berpanjangan, pergerakan sendi menjadi lebih terhad dan otot di sekeliling sendi mengecil. Sendi yang boleh terbabit adalah seperti sendi jari tangan, sendi pergelangan tangan, sendi lutut, sendi pinggul, sendi buku lali dan sendi bahu. Osteoarthritis dan rheumatoid arthritis (RA) tidak boleh disembuhkan. Justeru, rawatan yang diberikan biasanya bertujuan untuk mengawal simptom penyakit dan mengelakkan keadaan penyakit menjadi bertambah teruk. Beliau berkata, dalam kes jenis arthritis yang lain, ia boleh ditangani melalui ubat-ubatan manakala rawatan pula bergantung pada penyebab arthritis itu. (Berita Harian Online)

KOMEN:
pada masa dahulu, masalah sakit sendi banyak dialami oleh golongan tua yang usianyalebih daripada 60 tahun, tetapi kini golongn muda juga mengalami masalah yang sama. penyakit sendi atau lebih dikenali sebagai Arthritis amat menyeksakan sesiapa yang mengalaminya. ini kerana ada di kalangan merekan yang akan mengalami jari bengkok dan ini akan membuatkan pesakit akan menderita. penyakit ini juga akan menyerang bahagian sendi yang lain seperti sendi lutut, pinggul, sendi buku lali dan sendi lengan.
menurut pakar, penyakit ini juga disebabkan oleh pengambilan ubat lelah atau asma oleh mereka yang menghidap penyakit asma. ia juga terjadi akibat gaya hidup pesakit yang sebelum ini terlalu bebas dengan meminum minuman keras secara berlebihan serta mereka yang melakukan kegiatan yang lasak. antara tanda-tanda penyakit ini adalah sendi akan berasa sakit, panas di bahagian sendi,bengkak, pergerakan terbatas dan sendi akan kelihatan kemerah-merahan. oleh itu, golongan muda pada hari ini dinasihatkan supaya menjalankan gaya hidup yang sihat dan jauhilah alkohol atau minuman keras.

4 mac 2008 (problem wanita)

Wanita mudah alami patah tulang sendi pinggul
Oleh Hafizah Iszahanidhafiza@nstp.com.my
Selasa, 04 Mac 2008, 25 Safar 1429

Penggambilan kalsium, vitamin D elak risiko tulang reput PATAH tulang sendi pinggul bukan sekadar patah tulang, sebaliknya menjadi penanda aras berlakunya perubahan dalam gaya kehidupan seseorang. Bagi golongan muda, patah tulang sendi pinggul biasanya disebabkan kemalangan jalan raya atau kecederaan sukan, tetapi mereka yang berusia 65 tahun ke atas kerana tulang semakin rapuh.
Oleh itu, patah tulang sendi pinggul lebih kerap berlaku pada mereka yang berusia. Apabila usia meningkat, tulang semakin rapuh dan kejadian seperti jatuh boleh menyebabkan tulang sendi pinggul patah. Patah tulang sendi pinggul sebenarnya masalah global. Contoh di Amerika, kajian mendapati lebih 300,000 dimasukkan ke hospital setiap tahun kerana masalah itu. Pakar Perunding Ortopedik dan Pembedahan Trauma, Pusat Perubatan Gleneagles Intan, Dr CHin Chee Howe, berkata di Asia pula, kira-kira 50 peratus kes patah tulang sendi pinggul berlaku menjelang 2050.
“Sebenarnya patah tulang sendi pinggul boleh berlaku tanpa mengira usia, tetapi biasanya pada mereka yang berusia 65 tahun ke atas. Ada banyak sebab masalah itu berlaku dan punca utamanya kerana kurang kalsium,” katanya. Dr Chin berkata, apabila semakin berusia, tulang perlahan-lahan kekurangan mineral dan menjadi kurang padat. Katanya, kehilangan mineral itu menyebabkan tulang lemah dan tulang sendi pinggul mudah patah. “Berbanding lelaki, wanita lebih berisiko mengalami masalah patah tulang sendi pinggul kerana kepadatan tulang wanita lebih mudah merosot terutama selepas putus haid. Selain itu, jangka hayat wanita lebih lama berbanding lelaki.
“Pereputan tulang berlaku lebih cepat dari dalam. Justeru, pengambilan kalsium harus ditingkatkan sejak muda. Dalam satu kajian, pengambilan kalsium di kalangan orang Malaysia adalah antara 300 hingga 500 miligram (mg) sehari, yang mana tidak mencukupi,” katanya. Dalam satu kempen imbasan tulang yang dilakukan di seluruh negara oleh Fonterra Brands, satu daripada setiap dua wanita yang berusia 50 tahun ke atas berhadapan dengan risiko tinggi masalah kesihatan tulang. Pengurus Penyelidik Nutrisi, Fonterra Brands, Aaron Lambert, berkata daripada imbasan rawak di seluruh negara didapati 50 peratus wanita yang putus haid berisiko tinggi dan perlu mengambil langkah pencegahan untuk mengurangkan risiko tulang lemah. Simptom patah tulang sendi pinggul a) Terlalu sakit di pinggul atau pangkal paha b) Rasa tegang, lebam dan bengkak di kawasan pinggul c) Kaki pendek sebelah Langkah pencegahan Ada banyak cara untuk mencegah patah tulang sendi pinggul. Yang paling penting dan perlu diberi keutamaan ialah lakukan usaha mencegah masalah rapuh tulang (osteoporosis) terlebih dahulu iaitu mengambil lebih banyak kalsium dan vitamin D. Minum susu dan makan makanan yang tinggi kalsium selain susu seperti keju, yogurt dan sayur-sayuran hijau. Di pasaran, ada banyak susu antaranya susu untuk nutrisi tulang, Anlene. INFO: Faktor risiko
Lanjut usia
Keadaan kesihatan yang kronik
Jantina (perempuan lebih berisiko)
Genetik
Kurang kalsium dan vitamin D
Menghisap rokok dan minum alkohol (Berita Harian Online)

KOMEN:
masalah kekurangan zat misalnya kalsium boleh menyebabkan masalah tulang reput kepada golongan wanita. masalah kereputan tulang atau tulang rapuh ini banyak dialami oleh mereka yang berusia emas. sebagai contoh, masalah patah tulang pinggul yang banyak dialami oleh wanita akan semakin bahaya dan kepadatan tulang akan bekurangan apabila seseorang itu mengalami putus haid. ini kerana sistem hormon dalam tubuh sudah berubah. masalah patah tulang sendi pinggul patah ini banyak dialami oleh golongan wanita berbanding kaum lelaki tetapi, jangka hayat golongan wanita lebih lama berbanding golongan lelaki.
kepada wanita yang ada menagalami beberapa simptom seperti merasa sakit pada bahagian pinggul atau pangkal paha, rasa tegang, bengkak dan dan lebam di kawasan pinggul dan kaki pendek sebelah dinasihatkan segera berjumpa dengan doktor atau mereka yang arif tentang masalah ini. mereka juga perlu banyak mengambil bahan makanan yang mengandungi kalsium dan vitamin D seperti susu dan sayuran hijau. denagn itu, marilah sama-sama kita menjaga kesihatan untuk kesejahteraan hidup bersama.

4 mac 2008 (pantai cahaya bulan @ pantai cinta berahi)

Suasana santai di PCB
Oleh Rosdi Ismail
Selasa, 04 Mac 2008, 25 Safar 1429

CHALET baru PCB Resort yang telah siap dibina.
Pantai Cahaya Bulan janjikan panaroma menarik pembalikan cahaya bulan di pantai yang menghadap Laut China Selatan pada waktu malam PANTAI Cahaya Bulan (PCB) adalah satu daripada pantai yang terkenal di Kelantan. Ia terletak kira-kira 15 kilometer dari Kota Bharu dan satu ketika dulu menjadi kawasan pendaratan tentera Jepun untuk menyerang British pada 8 Disember 1941. Pada suatu ketika, pantai ini dinamakan Pantai Cinta Berahi, suatu nama yang dikatakan diberi oleh seorang askar British ketika ke pantai itu pada masa Perang Dunia Kedua. Pada masa itu, askar terbabit sedang menderita kerana cintanya tidak berbalas. Sesetengah orang tempatan masih menggunakan nama lama ini pada hari ini, walaupun mereka lebih suka merujuk kepada pantai ini sebagai PCB.
Persisiran pantai ini adalah sejauh 1.2 kilometer. Pantai ini terkenal kerana kawasannya panjang dan lebar, dengan pasir yang cantik dan air yang jernih. Deretan pokok ru dan kelapa pula menambahkan lagi kecantikan pantai ini. Oleh itu PCB menjadi tempat perkelahan yang popular di kalangan keluarga tempatan, khususnya pada hujung minggu. Pantai ini lengkap dengan kemudahan untuk pengunjung, terdapat pilihan hotel, chalet, kawasan perkhemahan, kedai makan dan gerai dan tandas awam. Perjalanan ke pantai ini dari Kota Bharu akan membawa pengunjung melalui satu pekan Melayu tradisional. Ini adalah kawasan kraftangan yang penting di negeri untuk pencetakan batik, penenunan songket dan pembuatan layang-layang.
PENGURUS Pemasaran, Amran bangga dengan pembinaan chalet baru Pantai Cahaya Bulan (PCB) Resort yang telah siap dibina.
Keistimewaannya, PCB menjanjikan panaroma menarik kepada pengunjung khusus pelancong asing untuk melihat pembalikan cahaya bulan di pantai itu yang menghadap Laut China Selatan pada waktu malam. Keindahan pancaran cahaya bulan itu menambahkan lagi keasyikan untuk melepaskan penat lelah dan rasa bosan di pantai berkenaan. Bagi merealisasikan lagi dan menambah nikmat kepada pengunjung merasai suasana istirahat yang sebenar, mereka boleh berkunjung ke Pantai Cahaya Bulan Resort (PCB Resort) yang tersergam di pantai berkenaan. Kedudukan resort yang hanya kira-kira 50 meter dari pantai menyediakan pelbagai kemudahan kepada pengunjung antaranya pakej menarik menikmati aktiviti tradisional penduduk di kampung berdekatan.
Pengurus Jualan PCB Resort, Che Amran Che Mat, berkata walaupun sebuah resort, pihak pengurusan cuba menyerap konsep homestay di dalamnya dengan pengunjung akan dibawa melawat ke rumah penduduk kampung yang menjalankan perusahaan tradisional seperti membuat barangan perak, kain batik, songket, sutera, keropok dan ikan masin. Katanya, pengunjung juga berpeluang terbabit secara langsung sama ada membuat atau bermain pelbagai permainan tradisional seperti wau dan rebana ubi selain melihat bagaimana beruk dilatih memetik kelapa. Beliau berkata, sejak pembinaan benteng penghakis ombak beberapa tahun lalu, masalah hakisan setiap kali musim tengkujuh sudah berkurangan. Benteng itu kini menjadi tumpuan pengunjung untuk menjalankan aktiviti beriadah seperti memancing, bermain wau dan bersantai bersama keluarga. Che Amran berkata, sebagai menyokong usaha kerajaan menaikkan taraf pantai itu dengan membina pusat perniagaan seperti gerai kraftangan, makan dan jualan pelbagai produk industri kampung, PCB Resort turut membina 14 unit lagi chalet baru. PCB Resort turut dilengkapi dengan pelbagai kemudahan lain seperti seminar atau kursus termasuk satu dewan besar bertaraf theater yang mampu menampung 800 orang, tiga dewan kecil dan dua dewan terbuka selain restoran tepi pantai dan kolam renang. Che Amran berkata, resort itu menjadi pilihan utama kepada pelancong tempatan dan luar negara untuk menginap dan bersantai bersama keluarga kerana kedudukannya hanya kira-kira 15 kilometer dari pusat bandar Kota Bharu. Katanya, sebagai sokongan kepada industri pelancongan negara, resort akan sentiasa menawarkan pakej menarik termasuk berkonsepkan homestay untuk mereka yang datang secara individu atau berkumpulan. "PCB Resort sentiasa mengutamakan keselesaan pengunjung yang mampu menambat hati mereka untuk datang semula kerana kadar sewa bilik pada harga yang berpatutan, iaitu bermula dari RM65 hingga RM199," katanya. FAKTA: Pantai Cahaya Bulan Resort
PCB Resort beroperasi sejak 30 tahun lalu adalah resort pertama diwujudkan di Kelantan dalam usaha menarik pelancong ke negeri Che Siti Wan Kembang itu.
Pelbagai pakej percutian disediakan kepada pengunjung termasuk agensi kerajaan dan swasta yang ingin mengadakan seminar, bengkel dan sebagainya.
Sebagai daya tarikan, PCB Resort turut menyediakan pakej lawatan ke kampung penduduk berdekatan untuk melihat aktiviti perusahaan tradisional seperti membuat kain batik, songket, sutera, membuat wau, barangan perak dan rebana ibu.
Turut menyediakan padang dan kolam mandi untuk pengunjung mengadakan aktiviti keluarga seperti sukaneka, bermain wau dan menunggang berkuda. Bagaimana ke sana?: Kedudukan PCB Resort hanya kira-kira 15 kilometer dar bandar Kota Bharu. Pelancong boleh memandu terus dari Pasar Besar Siti Khatijah melalui Jalan Padang Bank ke Jalan Pantai Cahaya Bulan untuk ke PCB Resort. Pelancong juga boleh menaiki teksi atau kereta sewa selain bas di Terminal Bas Kota Bharu.
Untuk keterangan lanjut hubungi PCB Resort menerusi talian 09-7744040/7742020.

KOMEN:
jika anda ingin melancong, berkunjunglah ke satu destinasi yang amat menarik di negeri kelantan iaitu, Pantai Cahaya Bulan (PCB) atau dulu dikenali sebagai Pantai Cinta Berahi. suasana yang aman dan menyegarkan ini dapat merehatkan minda selepas bergelumang dengan kerja yang kadang kala memberikan tekanan kepada kita.setiap pengunjung juga akan dibawa melawat ke tempat yang menarik oleh pihak pengusaha chalet yang ada di kawasan peranginan ini. ia dikenali sebagai PCB Resort.
ada satu pendapat mengatakan bahawa, salah satu cara untuk melepaskan tekanan yang melanda diri adalah dengan melancong dan melakukan aktiviti riadah. dengan itu, bagi sesiapa yang ingin merehatkan minda dan ingin melapangkan dan menenangkan fikiran, bolehlah berkunjung ke Pantai Cahaya Bulan ini. marilah sama-sama kita menikmati keindahan warisan negeri Kelantan ini. maghi kito pakak g pata cahayo bule weee...

4 mac 2008 (keprihatinan warga malaysia)

Hotel rai anak yatim, warga emas
Oleh Hidayah Mohammad
Selasa, 04 Mac 2008, 25 Safar 1429

WALAUPUN sambutan Tahun Baru Cina sudah sebulan berlalu, kehangatannya masih terasa. Federal Hotels International Kuala Lumpur, baru-baru ini menganjurkan sambutan Tahun Baru Cina bersama kira-kira 100 warga emas dan anak yatim dari Persatuan Kebajikan Ti-Ratana dan Rumah Kesayangan. Pengarah Pemasaran dan Jualan Hotel Federal International, Ooi Lee Ping, berkata penganjuran program itu diharap dapat menggembirakan mereka dan memberi peluang bagi kanak-kanak khususnya menikmati majlis istimewa. “Terpancar keceriaan pada wajah warga emas dan kanak-kanak kecil yang tidak mendapat kasih sayang keluarga ketika meraikan majlis ini. Selain dapat menikmati hidangan bersama mereka, kita turut memberikan hadiah atau ‘ang pau’ supaya dapat digunakan dengan sebaiknya.
“Tidak lengkap sekiranya tiada tarian singa. Oleh itu, kanak-kanak yang ditempatkan di rumah Kebajikan Ti-Ratana diberi peluang menunjukkan bakat menari tarian kebanggaan masyarakat Cina itu,” katanya ketika ditemui pada majlis sambutan Tahun Baru Cina di hotel berkenaan di Kuala Lumpur, baru-baru ini. Beliau berkata, program kebajikan itu adalah acara yang dijalankan secara berterusan supaya mereka yang kurang bernasib baik akan berasa masih disayangi. Selain itu, acara itu adalah bagi menaikkan semangat dan merasakan mereka masih mempunyai harapan untuk terus hidup lebih berdikari. “Masyarakat berpendapat apa saja perayaan yang diraikan adalah lebih baik disambut bersama keluarga sambil menikmati hidangan enak istimewa. Kanak-kanak berkenaan bersama warga emas turut diberi makan hidangan enak bermula dengan hidangan yee sang yang boleh memberi ‘tuah’ kepada mereka.
“Kakitangan Federal Hotels International berbangga kerana dapat menggembirakan mereka dengan meraikan sambutan Tahun Baru Cina. Ini adalah salah satu cara mengenang kepayahan dalam kehidupan mereka yang ditinggalkan keluarga,” katanya.

KOMEN:
Penduduk malaysia merupakan sebuah masyarakat yang pemurah. pada hari ini kita lihat ramai dermawan2 yang menghulurkan bantuan kepada meraeka yang memerlukan. langkah prihatin federal hotels international kuala lumpur harus dipuji kerana walaupun sambutan tahun baru cina sudah lama berlau tetapi, pihak pengurusan tetap menunaikan tanggungjawab sosialnya dengan menganjurkan sambutan Tahun Baru Cinabersama-sama 100 warga emas dan anak yatim dari Persatuan KebajikanTi-Ratana dan Rumah Kebajikan. program seumpama ini dapat menghiburkan perasaan sedih warga tua dan anak2 yatim tersebut.
langkah pihak pengurusan hotel ini patut dipuji dan dijadikan ikutan oleh mereka yang berkemampuan bagi berkongsi nikmat yang dianugerahkan oleh Allah S.W.T.